- Sinopsis Sesejuk Maaf di Kalbu
Kisah ini menceritakan tiga orang sahabat yang memulakan persahabatan di tadika kemudian persahabatan itu berterusan ke sekolah rendah. Apabila bersekolah menengah, pelbagai cabaran yang ditempuhi membuatkan mereka terpaksa memilih haluan masing-masing. Ketiga-tiga remaja ini mempunyai masalah keluarga tersendiri. Fazli, ibu bapanya sentiasa sibuk. Bapanya seorang pakar motivasi, ibunya pula sibuk dengan persatuan. Manakala Amirul, ibu bapanya berpisah. Bapanya berkahwin lain. Ibunya pula sakit mental. Dia dan adiknya disara oleh kakaknya dengan duit haram. Shukri pula, ibu bapanya juga berpisah. Dia tiga beradik dipelihara oleh ibunya. Ibunya sanggup berkorban apa sahaja demi kejayaannya. Namun dalam arus globalisasi ini, apabila remaja terdedah dengan banyak perkara, ketiga-tiga remaja ini tidak terkecuali. Mereka tergelincir dalam memilih haluan. Dalam kekalutan hidup itu, Amirul tidak habis-habis menyalahkan bapanya. Fazli juga meletakkan kesalahan ke bahu ibu bapanya. Manakala Shukri, kecewa dengan ayahnya namun perasaannya terbelai dengan ketabahan ibunya. Mampukah ketiga-tiga remaja ini bangun daripada kemelut hidup yang melanda? Mampukah ketiga-tiga remaja ini menyejukkan dendamnya dengan sebuah kemaafan? Ikuti pelbagai onak dan duri yang ditempuhi dalam menghayati peranan sebuah persahabatan dalam mencari jalan kebahagiaan.
Mariama dan Hassan, satu-satunya keluarga yang masih tinggal di rumah peninggalan Abu Jaafar. Mereka hanya ditemani Ali, cucu daripada anak lelakinya yang bergabung dengan pasukan pemberontak di pergunungan Granada. Dalam diam Hassan mengajar bahasa Arab pada Ali. Bahasa ibunda orang berketurunan Arab Granada, tapi sejak orang Castile berkuasa, bahasa itu dilarang daripada diamalkan. Demi mengurangkan bilangan warga berketurunan Arab yang bergabung dengan gerakan pemberontak, Granada dihapuskan daripada orang Arab. Dalam pelukan Ali, Mariama menghembuskan nafas terakhir. Ia meninggal dalam kumpulan warga keturunan Arab yang diusir dari kampung halaman sendiri. Pastikan anda terus membaca untuk mengetahui kisah selanjutnya. Dapatkah Ali bersama dengan wanita yang dicintainya, Wardah? Sejauh manakah persahabatan Ali dan Jose? Segalanya terjawab di dalam novel “Cinta Granada,” novel kedua daripada 3 novel dalam Tsulatsiyah Gharnathat (The Granada Trilogy). Novel yang pertama ialah “Rindu Andalusia” yang telah pun berada di pasaran.
11 tahun terpisah dengan sahabatnya yang bernama Zaman, Saifullah bermimpi akan janji mereka berdua sebelum berpisah. Janji yang tidak pernah dilupakannya, dan saban hari diingati. Namun mimpi itu datang berkali-kali seakan menyatakan bahawa dia belum menunaikan amanahnya. Satu hari, Zaman kembali secara tiba-tiba. Saifullah amat gembira. Tetapi, bukan hanya kebahagiaan sahaja yang ada di dalam dunia ini. Tanpa disangka-sangka, satu percubaan membunuh telah dilakukan ke atas Saifullah. Hal ini mengheret dirinya ke kancah jenayah kongsi gelap. Hairan kerana merasakan diri Saifullah tiada kaitan, Amiri, abang ipar Saifullah bergerak melakukan siasatan. Rupa-rupanya, keterasingan dalam kehidupan seorang insan, mengheret manusia-manusia yang berhubungan dengannya ke arah kegelapan. Ukhuwah, cinta, kasih sayang, prinsip, matlamat, segalanya teruji dengan keterasingan ini. Bagaimana Saifullah melaluinya?
.
|