telagabiru...
Tajuk Buku :
Masjid Itu Hidupku
Pengarang :
Ustaz Mohd Gunawan Che Ab Aziz
Terbitan :
Telaga Biru Sdn. Bhd.
Harga :
RM 19.90 (Semenanjung) /
RM 21.90 (Sabah & Sarawak)

Masjid berasal daripada perkataan Arab “sa-ja-da” yang bermaksud sujud iaitu perbuatan di mana umat Islam meletakkan dahi yang mulia ke posisi yang paling rendah, separas dengan tapak kaki tempat berdiri.

Maksud sujud di sini ialah menyembah Allah s.w.t. Jadi masjid ialah rumah tempat menyembah Allah s.w.t. atau rumah Allah (Baitullah). Hakikatnya seluruh muka bumi ialah rumah Allah. Sebab itu kita boleh sujud di mana-mana sahaja. Namun begitu, masjid ialah tempat yang paling Allah cinta bagi sesuatu kawasan. Masjid ialah gedung rahmat Allah.

Secara umumnya bolehlah didefinisikan bahawa masjid ialah tempat umat Islam mengerjakan ibadat khusus seperti solat dan iktikaf. Begitu pun masjid juga merupakan pusat aktiviti, sosial, kebudayaan, muamalat dan perkembangan dakwah Islamiah.

Terdapat beberapa pertikaian mengenai takrif masjid. Ada yang mengistilahkan semua tempat bersolat sebagai masjid. Bagaimanapun, takrif yang biasanya diterima pakai masjid merupakan tempat khas untuk bersolat dan telah digunakan untuk solat Jumaat melebihi tiga kali. Tempat solat yang tidak diadakan solat Jumaat lebih dikenali sebagai surau atau musalla.

Hari ini masjid sudah dilengkapi dengan penghawa dingin, pejabat, dewan serba guna, kedai, pusat latihan dan perpustakaan. Malah ada masjid yang mempunyai hotel, gim dan klinik.

Ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana sejak zaman permulaan Islam lagi, kemajuan umat dan gerakan Islam bermula dari masjid. Masjid telah dijadikan tempat untuk berkumpul, berbincang dan merancang strategi yang tidak terhad kepada bidang dakwah sahaja malah penyebaran ilmu pengetahuan, perdagangan, perundangan, peperangan dan kenegaraan.

Ada 3 masjid utama yang paling suci dan dimuliakan dalam Islam iaitu Masjidilharam di Makkah, tempat letaknya Kaabah iaitu kiblat solat umat Islam, Masjid Nabawi di Madinah, tempat dimakamkan Rasulullah s.a.w. serta Masjidilaqsa di al-Quds (Jerusalem), Palestin tempat Nabi mikraj (naik ke langit).

Rumah Allah yang paling utama ialah Baitullah al-Haram iaitu Kaabah di Makkah al-Mukarramah. Disebut Baitullah al-Haram kerana diharamkan berperang di dalam masjid. Baitullah juga menjadi kiblat umat Islam, iaitu arah menghadapkan muka dan dada ketika mengerjakan solat.

Buku ini menyorot satu perspektif dan sketsa yang sangat menarik tentang liku-liku, peranan serta peristiwa yang berlaku di sekitar masjid. Pembaca dibawa mengintai kembali senario masjid pada zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Buku terbitan Telaga Biru ini ditulis oleh Ustaz Gunawan Che Ab Aziz bagi menarik perhatian umum mengenai kepentingan masjid sebagi sebuah institusi yang sangat penting dalam menerus serta memajukan lagi tamadun umat Islam.

Ia berikutan semakin terhakisnya amalan ke masjid-masjid di kalangan generasi muda kebelakangan ini. Masjid tidak lagi dilihat sebagai sebuah tempat yang memainkan peranan terpenting bagi umat Islam. Para remaja serta dewasa lebih gemar bersama rakan-rakan serta keluarga untuk berhibur ke tempat-tempat yang kurang mendapat keredaan Allah serta para nabi Muhamamad s.a.w.


Sudah pasti dengan terbitnya buku ini, umat Islam diharap dapat membaca serta menyedari betapa ruginya mereka yang tidak diberi hidayah oleh Allah untuk bersama-sama dengan para jamaah yang lain melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah di masjid. Sesungguhnya, keberkatan Allah itu hanya bagi mereka yang ikhlas dalam mencarinya.

Untuk maklumat lanjut mengenai buku ini, sila hubungi 03-26914070 ataupun sila layari www.telagabiru.net.my
0 Responses