telagabiru...

Petikan: Berita Harian (5 Jun 2008)
Ruangan Personaliti: Sebar ilmu melalui penterjemahan : Rohidzir guna pengalaman fasih bahasa Arab alih bahasa karya terkemuka
Oleh Hasliza Hassan

MENTERJEMAH karya orang lain membataskan kreativiti kerana penulisan asal tidak boleh diubah selain terpaksa menerima apa juga pendapat walaupun ada sesetengah pandangan yang diberi tidak dipersetujui. Berbeza dengan menghasilkan karya penulisan sendiri, kita bebas meneroka dan melahirkan pandangan selain membuat kajian lebih mendalam mengenai sesuatu perkara tetapi tidak dinafikan, usaha itu memakan masa.

Namun, melalui proses penterjemahan buku ke dalam pelbagai bahasa lain, banyak pengetahuan dapat ditimba serta dikongsi dengan pembaca terutama mereka yang tidak boleh membaca buku dihasilkan penulis bangsa lain. Bagi anak muda berusia 33 tahun yang baru berjinak-jinak menghasilkan buku aliran agama, Rohidzir Rais, pengalaman menterjemah buku karya penulis lain memberi kepuasan kerana melalui usaha itu ilmu pengetahuan serta maklumat dapat disampaikan kepada lebih ramai orang. Contohnya, karya pertama yang diterjemah iaitu buku tulisan penulis Turki, Adnan Oktar yang menggunakan nama pena Harun Yahya berjudul The Evolution Deceit, daripada bahasa Inggeris ke Melayu membolehkan pelajar Malaysia di Mesir memahami ilmu sains daripada pandangan Islam.

"Anggapan umum kita ialah sains dan Islam ibarat air dengan minyak. Sebenarnya kita silap kerana sains dan Islam tidak boleh dipisahkan. Oleh itu, apabila saya berhasrat menterjemah buku yang ditulis Harun Yahya, tujuan saya ialah supaya kawan-kawan Melayu dapat belajar sains. "Tidak dinafikan ada pandangan dalam buku itu yang saya tidak setuju tetapi memandangkan ia adalah hasil terjemahan, saya tidak boleh ubah. Namun, keseluruhannya buku itu membolehkan saya lebih faham mengenai sains," katanya. Beliau berkata, idea menterjemah buku berkenaan lahir apabila beliau membacanya menerusi laman web dan merasakan topik yang dibincangkan itu menarik lalu mula menterjemah satu bab ke satu bab yang dibaca ke bahasa Melayu. Selepas menterjemah kira-kira 20 peratus daripada isi kandungan The Evolution Deceit, Rohidzir menghantar e-mel ke yayasan yang dinaungi Adnan Oktar untuk meminta dikirimkan naskhah itu serta memohon kebenaran menterjemahkannya ke bahasa Melayu.

Sebaik menerima maklum balas positif, beliau yang ketika itu sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Undang-undang Syariah di Universiti al-Azhar, Mesir, meneruskan usaha menterjemah. Dengan sokongan rakan pelajar lain, beliau akhirnya berjaya menerbitkan buku terjemahan itu di Mesir yang menelan kos RM10,000. Buku terjemahan beliau mendapat sambutan baik daripada pelajar Melayu di sana dan bermula daripada itu, minat menterjemah semakin menebal apabila kebanyakan buku yang diterjemah adalah buku berbahasa Inggeris.
Mengapa buku bahasa Inggeris? Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, jika pelajar yang menyambung pengajian di Mesir cenderung mempelajari serta mendalami bahasa Arab, hatinya terfikir untuk mempelajari bahasa Inggeris di bumi Arab.
.
Sepanjang melanjutkan pengajian, beliau mengambil kurus bahasa Inggeris di Institut Bahasa Antarabangsa di Mesir dan berbekalkan ilmu diperoleh, timbul kecenderungan menterjemah buku bahasa Inggeris ke Melayu. "Tidak tahu macam mana, tiba di Mesir pula saya terfikir untuk belajar bahasa Inggeris. Begitu juga apabila saya mengambil keputusan berhenti tingkatan enam dan masuk sekolah pondok. Keputusan itu dibuat tiba-tiba tetapi saya lihat ada hikmah di sebaliknya. "Sebenarnya buku bahasa Arab pun saya terjemahkan juga seperti buku cerita kanak-kanak mengenai kisah hidup Rasulullah SAW daripada lahir hingga wafat," katanya yang sudah menterjemah 28 buku dalam pelbagai bidang ilmu dan dua daripadanya buku bahasa Arab. Katanya, apa yang penting ialah buku terjemahan dapat memberi ilmu tambahan kepada pembaca yang mungkin menghadapi kesukaran kerana maklumat mengenai sesuatu topik itu dihasilkan oleh penulis bangsa asing.
.
Kini, tumpuan beralih kepada menghasilkan buku sendiri dan cita-cita itu direalisasikan apabila beliau diterima sebagai pengarang di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn Bhd yang aktif menerbitkan buku, kaset dan cakera padat motivasi serta agama. Bercerita mengenai buku agama yang semakin banyak di pasaran, Rohidzir berkata, itu adalah usaha dakwah sejak dulu dan disemarakkan generasi hari ini melalui pendekatan lebih mudah serta mampu menarik minat pembaca. Katanya, jika ulama dulu tidak menulis sudah pasti ilmu tidak akan sampai kepada generasi hari ini dan itu yang dilakukan industri penerbitan iaitu meneruskan kesinambungan berdakwah melalui penerbitan buku. Malah, banyak lagi ruang boleh diisi penulis baik yang lama dan baru untuk menghasilkan karya kerana bidang penulisan memberi kebebasan mengembangkan daya kreativiti masing-masing melalui pendekatan yang dirasakan dapat diterima khalayak pembaca.
.
Bagi beliau sendiri, antara pendekatan yang difikirkan untuk mencambah idea baru ialah mendekatkan kehidupan dengan al-Quran iaitu mencungkil sebanyak mungkin maklumat yang ada dalam kitab suci, dipadankan kepada kegiatan harian umat Islam. "Caranya, ambil satu topik dan kaji apa yang Allah katakan mengenai perkara itu. Itu satu pendekatan dan banyak lagi pendekatan untuk kita melahirkan ilmu serta maklumat supaya dapat disesuaikan dengan gaya pemikiran serta corak kehidupan semasa. "Contoh lain, buku Remeh Temeh Tentang Seks Tapi Anda Malu Bertanya yang saya hasilkan cuba memberi satu persepsi baru kepada masyarakat kerana persoalan seks dalam masyarakat kita bukan perkara yang dibincangkan secara terbuka. "Alhamdulillah, saya mendapat maklum balas positif daripada pembaca walaupun ada yang mengaku malu hendak membeli buku itu.
.
Hakikatnya ia adalah perkara yang ingin ditanya dan saya cuba sampaikan dalam bentuk sopan supaya mudah diterima serta difahami," katanya. Beliau yang mengakui disebabkan buku itu ada menggelarnya 'penulis seks', ia sedikitpun tidak menjejaskan tumpuannya, malah usaha diteruskan termasuk menyiapkan Ensiklopedia Solat sebanyak tiga jilid yang diharap dapat diterbitkan sebelum hujung tahun ini. Selain menulis, beliau juga berusaha memberi nilai tambah pada diri dengan mempelajari bidang susun atur menghasilkan halaman buku yang dianggap penting untuk menghasilkan satu penerbitan yang baik.
.
Katanya, hatinya lebih puas apabila bukan saja dapat menulis tetapi juga terbabit sama dalam proses penerbitan daripada peringkat penyusunan, pemilihan gambar serta susun atur halaman hingga terhasilnya sebuah buku. Bercita-cita menjadi seorang pendidik, Rohidzir memberitahu, dalam hatinya masih menanamkan angan-angan untuk membina sekolah agama miliknya sendiri yang memberi tumpuan melahirkan pakar dalam bidang al-Quran, hadis dan bahasa Arab. "Itu angan-angan saya dan walaupun aktif dalam penulisan buku, saya bertekad untuk meneruskan usaha mencapai cita-cita. Perancangan sudah ada dan dengan izin Allah, saya cuba melakukan segala terdaya supaya harapan menjadi kenyataan," katanya.
.
...............
Faruq: Seghonok tengok kawan2 seghonok...
2 Responses
  1. teruskan perjuangan...moga hidup kita diberkati ALLAH selalu..amin!!!


  2. Syukran Sahabat semoga ini menjadi platform untuk ke stage berikutnya... Amin